SEDEKAH





Sedekah bermaksud pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Jadi apabila merujuk keimanan mahupun keyakinan janji kepada Allah sudah tentu di sana perlu kepada pembuktian iaitu menginfakkan harta di jalan Allah. Baik pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, kerabat keluarga, mahupun untuk kepentingan jihad fi sabilillah.

Dalil Al-Quran Surah al-Baqarah ayat 264 :

" Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan ingatlah, Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir ."

Pada masa kini, saya melihat bahawa segelintir masyarakat hanya bersedekah dan memberi sumbangan hanya untuk menunjuk-nunjuk serta riak. Sebagai contoh, mengepos video ataupun gambar mereka ketika sedang membuat sumbangan dan bersedekah kepada orang yang memerlukan di media sosial mereka seperti "Instagram" dan "Facebook". Hal ini, tidak sewajarnya berlaku dalam diri umat Islam kerana sepatutnya mereka bersedekah bukanlah dengan cara menunjuk-nunjuk. 

Oleh itu, bersedekahlah dengan ikhlas bukan bersedekah hanya untuk menunjuk nunjuk kepada orang lain supaya orang lain melihat diri kita ini kaya dan baik. Buanglah perasaan riak dan menunjuk nunjuk dalam diri kita. 

Selain itu, bersedekah juga tidak akan mengurangkan harta kita justeru ia akan meluaskan rezeki serta memberi pahala kepada kita. Kita hidup di dunia bukan sahaja untuk mengumpul harta kekayaan di dunia malahan kita juga harus mengumpul saham dan pahala kita di akhirat kelak.

Akhir kalam, bersedekahlah kepada orang yang memerlukan tidak kiralah kita ini kaya ataupun miskin bersedekahlah dengan hati yang ikhlas.

Comments