ILHAM




      Kami sekumpulan telah memilih Masjid UPM sebagai tempat untuk kami mencari ilham bagi tugasan penglahiran bakat kreatif. Justeru itu, saya ingin menceritakan ilham yang telah saya bersama ahli kumpulan  perolehi sepanjang kami berada di Masjid tersebut. Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan antara salah satu tempat yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar UPM dan juga penduduk setempat untuk menunaikan ibadah berikutan lokasinya yang strategik.  Bentuk senibina kubah masjid yang unik dan menarik melambangkan topi perang milik tokoh pejuang Islam Salahuddin al-Ayubi. Hal ini dapat memberi inspirasi khususnya kepada para mahasiswa untuk sentiasa bersemangat dalam perjuangan menghadapi cabaran dan rintangan sepanjang proses menuntut ilmu.   Selain itu, landskap masjid yang dihiasi oleh rimbunan pepohon yang menghijau, bunga-bungaan yang kembang mekar dan tasik yang tenang dapat menyegarkan minda pengunjung terutama mahasiswa UPM. Gabungan susun atur kayu-kayan yang dicat serba putih dan pemilihan pokok bunga berwarna-warni di halaman masjid tampak ringkas dan sederhana namun masih dapat membangkitkan suasana sedap mata memandang.

     Seterusnya, kelihatan pengunjung mula memenuhi perkarangan masjid apabila laungan azan berkumandang bagi menyahut seruan Pencipta (Al-Khaliq). Melalui pengamatan kami, kelihatan beberapa muslimin dan muslimat bergegas memasuki ruang solat untuk menunaikan solat berjemaah. Sebagai seorang muslim, kita sewajarnya berlumba-lumba melakukan kebaikan seperti solat diawal waktu secara berjemaah. Di samping itu, ukiran ayat-ayat suci Al-quran terukir kemas di segenap ruangan dalam masjid. Hal ini dapat meniupkan aura ketenangan dalam jiwa setiap hamba yang mendamba kasih dan rahmat-Nya sekaligus dapat khusyuk dalam beribadah. Tambahan pula, terdapat juga amalan lain yang dilakukan oleh pengunjung seperti membaca Al-quran, berzikir, bersedekah dan mengikuti kuliah dan majlis ilmu yang dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid. Sebagai contoh, anak-anak diajar oleh ibu bapa agar melazimi bersedekah supaya akhlak islamiah dapat diterapkan dalam diri mereka sejak dari kecil kerana mereka masih mudah dibentuk. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

     Antara kemudahan yang disediakan di dalam masjid adalah kerusi roda bagi memudahkan pergerakan orang kurang upaya dan warga emas. Pada waktu yang sama, terlintas dibenak fikiran kami agar mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan Tuhan dan istiqamah dalam melakukan ibadah kepada-Nya. Kemudahan lain yang terdapat disini adalah seperti tabung masjid, tabung wakaf ilmu , tabung penaiktarafan kubur dan rak wakaf barangan kering untuk disalurkan kepada para pelajar UPM dan asnaf yang memerlukan.

     Kesimpulannya, terdapat pelbagai ibrah yang kami peroleh ketika berkunjung ke Masjid UPM pada tempoh hari, yang pastinya akan kami aplikasikan dalam pembikinan sajak untuk tugasan yang kedua.